Tekanan Selepas Keguguran

Assalamualaikum Dr Firdaus,

Saya Siti dan saya baru saja mengalami keguguran pada 28 Disember 2008 setelah 4 tahun menunggu untuk hamil. Saya merasa amat tertekan sekarang kerana saya memang dah lama mengharapkan kehadiran cahayamata dalam rumahtangga saya. Namun baru-baru ini saya dapat menghadapi tekanan tersebut dengan sokongan suami dan kesibukan kerja.

Namun sejak akhir-akhir ini saya merasa kembali tertekan kerana saudara saya yang baru berkahwin datang tinggal bersama saya dan didapati hamil anak kembar walaupun baru dua bulan berkahwin. Kehamilan beliau telah menyebabkan saya kembali memikirkan kandungan saya yang gugur sebelum ini dan saya merasa semakin terkekan. Apabila berseorangan, saya akan menangis. Masalah saya sekarang ialah, saya tidak boleh berada berhampiran perempuan hamil. Saya akan rasa amat tertekan sehingga kadang-kadang seharian saya takkan bercakap dengan sesiapun termasuk saudara saya yang hamil dan suami saya.. Saya tak tahu apa yang patut saya buat kerana saudara saya yang sedang hamil ini tinggal dengan saya dan bekerja satu pejabat dengan saya. Kadang-kadang saya rasa mahu menyuruh beliau mencari rumah lain, tapi saya tak tergamak sebab saya tahu beliau dan suami beliau susah kerana berkahwin di usia yang sangat muda dan masih belum tahu berdikari. Saya sangat tertekan sehinggakan kadang-kadang saya bergaduh dengan suami kerana masalah ini. Berada berhampiran wanita hamil menyebabkan saya teringatkan kandungan saya sebelum ini.

Apa yang patut saya buat Doktor? Bagaimanakah cara untuk mengurangkan tekanan saya?

W’salam Puan Siti,

Satu strategi yang boleh saya kongsikan di sini bagi menghadapi tekanan yang di alami ketika ini iaitu; kawalan fikiran secara rasional boleh membantu mengurangkan perasaan dan tingkahlaku negatif seseorang. Pada saat ini, pastinya puan percaya bahawa faktor tekanan yang puan alami seperti keguguran, harapan untuk mendapat cahaya mata setelah 4 tahun berkahwin dan kehadiran saudara di rumah yang sedang mengandung adalah punca puan tertekan.

Walau bagaimanapun, apa yang sebenarnya mengikut teori kognitif tingkahlaku adalah, faktor tekanan atau situasi yang membuat kita tertekan hanya menyumbang 10-20% sahaja di dalam hidup kita, di mana selebihnya adalah lebih bergantung kepada cara kita berfikir, cara kita mengawal tingkahlaku dan sistem biologi di dalam tubuh badan kita.

Oleh itu, apa yang boleh puan lakukan sekarang adalah mencari hikmah disebalik setiap kejadian yang berlaku, menghargai lebih banyak nikmat yang dikurniakan Allah berbanding dengan sedikit ujian yang diberikan dan seterusnya cuba ikhlaskan diri untuk melayan saudara puan atau mana-mana wanita hamil dengan baik dengan berdoa agar Allah juga mudahkan rezeki “berjangkit” mendapat cahaya mata di kemudian hari. Lagi banyak puan tertekan, lagi sukar untuk hamil dan juga adalah tidak baik untuk bayi sekiranya ibu yang mengandung berada di dalam keadaan tertekan. Banyakkanlah bersedekah agar dimurahkan rezeki di dalam perkahwinan dan kehidupan.

Sekiranya puan menghadapi kesukaran untuk menghadapi semua ini berseorangan, rujuklah kepada pakar psikologi atau kaunselor yang berdekatan. Rujukan kepada pakar sakit puan juga boleh membantu untuk mengenalpasti masalah kehamilan.Yang pasti, elakkan berseorangan, carilah rakan untuk berbual dan lakukan aktiviti kehidupan yang menceriakan berbanding hanya duduk memikirkan kesedihan puan.

Firdaus

  • BaiBoo Contest

    facebook