Assalamualaikum Dr. Firdaus,
saya mempunyai seorang anak lelaki yang berusia 5 tahun. masalahnya dia menghadapi masalah untuk memberitahu yang dia sakit perut untuk buang air besar. Atau lebih senang dia suka membuang air besar dalam seluar. Saya dan suami sudah puas menasihati dia, jika dia ingin terasa nak buang air terus ke bilik air. Sebaliknya, dia akan menyorok di dalam bilik untuk membuang. Dan dia sering terkencing di dalam seluar. Bolehkan Dr. terangkan, apa masalah yg dihadapi oleh anak saya.
azmah
W’salam Puan Azmah,
Persoalan puan adalah berkenaan dengan kesukaran anak yang berusia 5 tahun ini, untuk memberitahu puan dia ingin buang air kecil dan besar atau sukar untuk melakukannya sendiri. Jadi pertamanya, saya mengandaikan anak puan tidak menghadapi sebarang masalah aktiviti harian (ADL) lain atau boleh dikatakan tumbesaran fizikal dan mentalnya adalah lebih kurang serupa dengan kanak-kanak sebaya dengannya.
Sekiranya puan musykil tentang perkara ini, eloklah diusulkan perkara ini kepada pakar kanak-kanak (paeditrician), pakar psikiatri kanak-kanak (child psychiatrist) atau pakar psikologi klinikal (clinical psychologist) yang berdekatan untuk memastikan tahap anak puan. Oleh itu, sekiranya toilet training atau pengendalian mengajar anak untuk menguruskan urusan buang air kecil dan besar sahaja fokus puan, saya boleh berikan sedikit maklumat atau tips berkenaan dengannya.
Secara umum, toilet training mulai dilatihkan kepada anak-anak antara umur 1 hingga 3 tahun. Sekiranya selepas umur tersebut, anak-anak masih belum menguruskan dirinya, ibu bapa perlu membuat beberapa langkah serius untuk memastikan anak boleh menguruskan diri mereka memandangkan mereka perlu menyesuaikan diri di alam persekolahan.
Dua perkara penting yang perlu diingatkan ialah:-
(1) Toilet training bukan satu pertandingan, di mana ada ibu bapa suka membanding-bandingkan dengan adik beradik atau saudara-mara lain supaya anak mereka boleh lekas bijak beritahu bila mereka hendak buang air kecil atau besar.
(2) Kesalahan dalam menguruskan toilet training seperti menengking, memaksa, memukul, berkasar ketika menyuruh buka seluar atau menekan bahu anak untuk duduk, menakut-nakutkan anak-anak boleh menyebabkan naluri atau fitrah anak-anak untuk merasai nikmat buang air kecil atau besar itu boleh terbantut dan ini boleh memberi implikasi yang negatif dalam tumbesaran mereka, terutama di dalam pembinaan personaliti dan keupayaan mental mereka.
Oleh itu, secara ringkas di sini, antara tips yang boleh puan dan suami lakukan adalah:-
(1) Fahami kegusaran, ketakutan dan kegelisahan anak puan–anak umur 5 tahun biasanya boleh beritahu perasaan mereka dan menceritakan apa yang mereka takut dalam bentuk gambaran ataupun secara jelas
(2) Sentuhan secara fizikal dan kata-kata positif untuk meyakinkan kebolehan anak penting sepanjang tempoh toilet training–pegang bahu, gosok belakang sambil katakan “abang sakit perut yer, sabar yer tahan sikit, mama teman abang dalam toilet sama-sama okay, abang boleh pegang tangan atau kaki mama kalau abang mahu meneran
(3) Setiap kali anak berjaya buang air kecil atau besar di tandas, bagilah pujian segera, sebagai contoh katakan ” baguslah anak mama buang di toilet, mama sayanglah good boy mama dah pandai buang kat toilet” dan sebagainya, dan bagilah penghargaan seperti makanan yang disukai atau seluar baru atau bersiar-siar dan bermain bersama-sama permainan yang diminati.
(4) Perhatikan diet anak puan, banyakkan makanan yang tinggi serat, buah-buahan dan sayur-sayuran dan air putih bagi memudahkan penghadaman anak–kerana ada juga anak tidak suka toilet training kerana sembelit atau najisnya keras.
(5) Konsisten, kawal emosi puan dan suami sepanjang tempoh toilet training, bagi tempoh masa dalam tiga bulan, sekiranya masih tidak berjaya rujuk kepada golongan profesional untuk bantu puan.



